Sunday 19 February 2012

Transformasi Pendidikan Perlu Segera

KUALA LUMPUR 31 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses menyeluruh dalam transformasi pendidikan negara perlu dilaksanakan segera seiring dengan perubahan pantas pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, hanya dengan transformasi pendidikan yang berkesan mampu menghasilkan modal insan yang benar-benar boleh membawa negara ke tahap pembangunan ekonomi lebih baik berasaskan kreativiti dan inovasi.

“Transformasi ini pasti akan memperbaiki kualiti sekolah-sekolah kita dan membolehkan generasi muda kita menonjolkan potensi sebenar untuk berjaya dalam persaingan ekonomi global yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke-4 di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, elemen kreativiti dan inovasi di dalam kurikulum, corak pengajaran dan proses pembelajaran serta sistem penilaian perlu diterapkan dalam pendidikan negara bagi menghasilkan modal insan yang berdaya saing.

Katanya, transformasi pendidikan juga akan berupaya mewujudkan suasana perpaduan yang lebih erat di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Bagaimana pula transformasi pendidikan ini boleh membantu kita membina Malaysia yang bersatu-padu? Ia boleh dilaksanakan dengan pendemokrasian pendidikan iaitu memperbaiki kualiti sekolah yang sekali gus meluaskan peluang pendidikan berkualiti kepada semua kaum,” katanya.
Beliau berkata, tidak akan wujud lagi prejudis perkauman apabila semua rakyat Malaysia mendapat hak sama rata untuk pendidikan yang berkualiti.

Katanya, hanya dengan mempertingkatkan kualiti pendidikan negara mampu memadamkan segala perbezaan yang boleh menyebabkan konflik dan prejudis perkauman pada masa depan.
“Sejarah telah membuktikan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan taraf hidup rakyat Malaysia terutama di kalangan bumiputera yang tidak berkemampuan.
“Melalui usaha kerajaan mewujudkan Dasar Ekonomi Baru telah berjaya membantu bumiputera mendapatkan peluang pendidikan lebih baik seterusnya memperbaiki status ekonomi dan sosial serta berada setaraf dengan kaum lain,” katanya.

Muhyiddin berkata, sistem pendidikan yang berkesan telah berjaya menangani jurang ekonomi yang ketara di kalangan masyarakat pelbagai kaum serta mengurangkan ketegangan kaum.
“Pada hari ini kerajaan berazam membantu semua kaum mendapatkan peluang pendidikan yang lebih baik dan salah satu langkah adalah menyediakan biasiswa pendidikan dan memperluaskan peluang pendidikan tinggi.

“Dengan langkah ini kita berharap rakyat berbilang kaum di negara ini akan menikmati faedah terutama dalam aspek ekonomi selain mengeratkan lagi perpaduan sesama sendiri,” katanya.
Muhyiddin turut mengingatkan generasi muda pada hari ini bahawa menguruskan sebuah negara berbilang kaum memerlukan tindakan dan langkah yang adil kepada semua.
Katanya, kadangkala tindakan sesuatu kaum meminta sesuatu perkara secara berlebihan hanya akan menyebabkan rasa tidak puas hati kepada kaum lain.

“Kita perlu melihat dalam gambaran yang lebih luas. Kita perlu meletakkan kepentingan negara lebih dari segalanya termasuk membuat permintaan yang hanya untuk kepentingan kaum tertentu semata-mata,” katanya.
Tambah Muhyiddin, masyarakat perlu menerima hakikat bahawa sebagai sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia, hubungan antara kaum yang harmoni merupakan matlamat utama pemerintah.
——-
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

Sumber: Utusan Malaysia |1 Ogos 2010|

No comments:

Post a Comment