PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Khamis akan berkuatkuasa 1 Jan
tahun ini dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs
Datuk Omar Osman.
Katanya ia berdasarkan kepada perbincangan
Cuepacs dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat
Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya di sini di mana pengumuman itu dibuat.
"Sama ada
pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung
kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita
selepas itu.
Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut
mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan
mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.
Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk
Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1
hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C,B dan A;
lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk
Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara.
Omar berharap
pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi
suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan
kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan
produktiviti.
Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut
disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan
awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan
kepada tuntutan Cuepacs yang lain.
Mengenai Penilaian Tahap
Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang
diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan
Kompetensi (PROSPEK).
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan
Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata pengumuman Perdana
Menteri itu turut menggembira kaum guru.
"Ia jelas menunjukkan
golongan pendidik tetap diberi keutamaan oleh kerajaan kerana kenaikan
pangkat tidak perlu menunggu masa yang lama iaitu selama 10 tahun,"
katanya.
Kerajaan mengumumkan akan mengekalkan keputusan
penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" pegawai
Perkhidmatan Pendidikan seperti yang dimumkan dalam Bajet 2012.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment