SHAH ALAM - Skim
gaji kakitangan kerajaan, Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang
diperkenalkan untuk dilaksana berkuat kuasa 1 Januari lalu, akan
dimansuhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Sehubungan itu, 1.4 juta kakitangan awam akan tertakluk kepada Sistem
Saraan Malaysia (SSM), yang diguna pakai sebelum ini, dengan dilakukan
penambahbaikan.
Perdana Menteri juga berkata, sebuah suruhanjaya khas yang terdiri
daripada pelbagai pihak akan dibentuk bagi mengkaji sistem saraan
perkhidmatan awam secara menyeluruh.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak
13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan
Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A
(sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus
Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus).
Najib juga mengumumkan jadual gaji matriks yang dilaksanakan sekarang
diubahsuai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan
RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut
kenaikan tahunan SSM.
Bagi Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA), Najib mengumumkan kenaikan
kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C
dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.
Perdana Menteri membuat pengumuman itu pada perhimpunan khas bersama
penjawat awam di Dewan Perdana Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
pagi ini.
Ekoran bantahan sebahagian besar kakitangan awam dan Cuepacs sendiri,
kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA awal Januari
lalu.
Susulan penangguhan itu, kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas
bagi melaksanakan semakan semula SBPA dan diberi tempoh tiga bulan untuk
membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu.
No comments:
Post a Comment