Wednesday 15 February 2012

Subjek Sejarah mesti lahirkan pelajar berfikiran kritis, kreatif

Oleh Zahari Othman(Berita Harian)
2010/11/29


LANGKAH kerajaan mewajibkan subjek Sejarah amat baik. Mempelajari sejarah penting bagi membolehkan kita bukan saja hidup harmoni di negara yang kita cinta ini malah jika kita ingin berhijrah ke negara lain. Memang wajar pendekatan (bukan fakta sejarah) subjek Sejarah diubah bagi memenuhi matlamat menjadikan proses pembelajaran Sejarah lebih bermakna dan menambah kefahaman pelajar mengenai budaya masyarakat majmuk yang seterusnya memupuk toleransi antara kaum.

Proses pengajaran dan pembelajaran perlu berasaskan perspektif pendidikan lebih luas dan jelas. Pendidikan harus dilihat sebagai proses pelajar diberi kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif untuk membolehkan mereka membina ilmu baru berasaskan pengetahuan sedia dan bukan mengehadkannya kepada maklumat guru di kelas atau kuliah.

Profesor David Perkin dari Universiti Harvard menyarankan, antara matlamat pendidikan ialah pengajaran berlaku untuk tujuan kefahaman dan harus membolehkan pelajar menyelesaikan masalah, bukan menghafal maklumat diberi.

Kelas adalah tempat pelajar dibimbing bagi mengamalkan budaya berfikir secara kritis dan kreatif seterusnya membina kemahiran intelek. Berdasarkan satu ciri penting dalam teori pendidikan David Perkin iaitu pembelajaran dikatakan berlaku hasil proses berfikir, maka pendekatan pengajaran Sejarah harus melahirkan pelajar yang boleh berfikir secara kritis dan kreatif. Satu pendekatan yang boleh dibuat ialah guru dilatih menyediakan modul Socratic questioning ketika sesi pengajaran supaya pelajar dapat dirangsang berfikir.

Namun, mengikut pendapat dan kajian Profesor Emeritus Robert Swartz dari Universiti Massachusetts, Boston yang juga pengarah The National Center For Teaching Thinking USA, pendekatan tidak membolehkan pelajar menyedari bentuk kemahiran berfikir yang digunakan dan mempengaruhi kefahaman subjek yang dipelajari.

Beliau yang mempelopori idea The infusion of critical and creative thinking into content instruction menyarankan, kemahiran berfikir pelajar harus dibina melalui kandungan mata pelajaran itu sendiri.

Jika kita mahu pelajar mahir membuat keputusan, guru harus memilih tajuk bersesuaian. Contoh, guru boleh minta pelajar membayangkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman meminta pandangan rakyat sama ada Singapura harus kekal dalam Malaysia atau tidak. Dengan membekalkan fakta asas sejarah penubuhan Malaysia dan situasi politik ketika itu, guru boleh meminta pelajar berbincang dalam kumpulan dan mencari fakta tambahan untuk menulis surat kepada Perdana Menteri bagi menyatakan pendapat mereka.

Pendapat ini perlu diikuti beberapa pilihan yang perlu mereka cadangkan sebelum menyokong atau menentang pemisahan Singapura. Cara mengendalikan pengajaran begini harus dipelajari dengan lebih mendalam. Pendekatan ini juga sesuai untuk subjek lain dengan mengubah suai pendekatan mengikut kandungan subjek.

Dengan pendekatan ini pelajar tidak dibeban terlalu banyak kandungan subjek Sejarah dan lebih berminat serta faham dengan mendalam subjek itu. Pelajar juga boleh dibimbing mengamalkan tabiat minda produktif. Contoh, ketika perbincangan, pelajar dibimbing berkomunikasi dengan jelas dan tepat, mendengar pendapat rakan dengan beradab dan kritis, berkongsi idea dan pemikiran serta belajar mengubah suai pemikiran apabila idea didapati lebih baik daripada yang mereka dapati sebelumnya.

Antara kemahiran berfikir yang boleh diterapkan kepada pelajar ialah membuat analisis dan perbandingan serta melihat kelainan dengan tujuan membuat kesimpulan. Selain itu, kemahiran mengesan maklumat sahih, punca masalah dan kemahiran yang lebih mencabar seperti membuat keputusan serta menyelesaikan masalah.

Apa yang berlaku di sekolah kini ialah guru memberi kandungan dalam subjek yang diajar mengikut tajuk. Akibatnya guru merungut dengan mengatakan pelajar malas berfikir. Namun, mereka tidak pernah diajar berfikir. Pelajar yang dikatakan malas berfikir sebenarnya menggunakan lower order thinking dan berasaskan pengalaman melalui pembelajaran latih tubi.

Inilah yang dinyatakan Profesor Emeritus Khoo Kay Kim mengenai bentuk pengajaran yang kesannya membantut perkembangan minda dan pemikiran pelajar.
Kita sering mendengar kes pelajar terbabit aktiviti tidak bermoral walaupun lulus cemerlang dalam subjek Moral dan Agama. Mereka juga mungkin lulus cemerlang subjek Sejarah tetapi selepas menjadi peguam, mempersoalkan kenapa guru diberi hak istimewa dalam Perlembagaan.

Oleh itu, kita berharap dan percaya kerajaan mampu membuat perubahan kandungan setiap subjek supaya tidak terlalu banyak. Ia memberi ruang kepada proses pembinaan kemahiran berfikir dan bentuk pentaksiran atau penilaian bersesuaian dengan hasrat mewujudkan pelajar kritis dan kreatif seterusnya mewujudkan generasi inovatif, berakhlak, beretika, berketrampilan dan kukuh jati diri.

Kita harap guru diberi latihan tambahan untuk menjadi ejen perubahan minda pelajar dan masyarakat. Kita tidak mahu guru di sekolah rendah hanya melanjutkan pelajaran untuk meningkatkan kelayakan akademik tetapi mengajar dengan pendekatan serupa. Kita tidak boleh terus membuat andaian bahawa peningkatan akademik akan menghasilkan mereka yang lebih mahir berfikir.

Penulis ialah penyelidik bebas dan pernah berkhidmat di Institut Sains Matematik Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment