Sunday 19 February 2012

WAJARKAH PENDIDIKAN SEKS MENJADI KURIKULUM SEKS DI SEKOLAH ?

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Puji dan syukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberi kekuatan dan ketabahan kepada warga penerbit Fikratul Ummah untuk terus istiqamah dalam dakwah melalui mata pena dan seterusnya dengan izin-Nya jua sekali lagi Fikratul Ummah menjadi tatapan para pembaca budiman di bulan Mei ini iaitu bulan yang penuh makna dalam kalendar masyarakat hari ini. Dua insan mulia yang penuh pengorbanan diraikan pada bulan ini, iaitu tidak lain mereka adalah insan yang bergelar ibu dan guru. Peranan ibu dan guru amat signifikan dalam mendidik keluarga dan masyarakat.

Justru, FU bilangan ke-41 kali ini menyentuh peranan mereka berdua khususnya dalam menyambung perbincangan mengenai isu pendidikan seks yang diperkenalkan melalui kurikulum Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Keluaran bulan lalu telah mengajak anda memperhatikan faktor-faktor pengenalan PKRS ini dan juga membawa anda menyoroti sejarah pelaksanaan kurikulum pendidikan seks di Malaysia. InsyaAllah keluaran bulan ini dan keluaran bulan-bulan akan datang akan memuatkan artikel berupa pengkajian yang lebih mendalam.

Artikel pertama yang diangkat pada keluaran kali ini ialah 'Wajarkah Pendidikan Seks Menjadi Kurikulum Pendidikan?'. Artikel ini mampu memberi penjelasan yang lebih mendalam bagi merungkaikan persoalan kewajaran pengenalan PKRS di Malaysia di mana artikel ini akan membentangkan kepada para pembaca realiti pelaksanaan pendidikan seks di negara-negara Barat dan Eropah serta kesan buruk yang bakal dihadapi oleh masyarakat Malaysia jika mengambil mereka sebagai contoh dalam melaksanakan kurikulum pendidikan seks di negara ini. Seterusnya artikel kedua bertajuk 'Peranan Ibu Bapa dalam Pendidikan Seks' akan memberi pencerahan tentang peranan ibu bapa dalam memberi pendidikan terkait dengan seks ini kepada anak-anak di rumah dan betapa pentingnya ibu bapa melakukan tugas ini serta kesan buruk jika mereka meninggalkannya. Keluaran kali ini turut memuatkan satu artikel terjemahan oleh Abu Luqman as-Syami yang diterjemahkan dari majalah al-Waie (arab) edisi 284-285.

Segmen doa pula menampilkan doa yang dibaca khusus untuk ibu bapa. Tidak ketinggalan Fikih Muslimah membahaskan hukum wanita haid iktikaf di masjid. Semoga pembahasan Fikih ini memberi gambaran yang jelas pada anda dalam menilai status perbuatan dalam kehidupan sehari-harian.

Kami berharap agar usaha mengajak anda mengkaji secara bertahap mengenai isu PKRS ini diberkati oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala hendaknya dan semoga perbahasaan dalam keluaran kali ini boleh memberikan gambaran yang jernih pada anda untuk lebih memahami perbahasaan dalam keluaran akan datang, InsyaAllah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

DOA PILIHAN



Apabila seorang meninggalkan do’a bagi kedua ibu bapanya maka akan terputus rezekinya. [HR. Ad-Dailami]



“Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” [TMQ Ibrahim (14): 41]

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~




Perkembangan ilmu pengetahuan, teknologi dan seni telah mendorong kepada perubahan sistem pendidikan Negara. Elemen penting yang perlu ada dalam menghadapi perubahan ini ialah manusia berkualiti iaitu manusia yang beriman dan bertaqwa terhadap Tuhan Yang Maha Esa, berbudi pekerti yang luhur, berkeperibadian, mandiri, maju, cerdas, kreatif, berketrampilan, berdisiplin, mempunyai etika kerja, profesional, bertanggungjawab, produktif, serta sihat jasmani dan rohani.

Pendidikan merupakan hal yang sangat penting dan berkait secara langsung dengan segala aspek kehidupan yang lain dan meliputi setiap individu. Hal ini kerana pendidikan berperanan dan berpengaruh secara langsung terhadap perkembangan manusia dalam seluruh aspek keperibadiannya. Dengan kata lain, pendidikan menentukan model manusia yang akan dihasilkannya.

Apabila kurikulum pendidikan menjadi sesuatu yang tidak pasti, mangsa dari ketidakpastian tersebut adalah tidak lain iaitu pihak sekolah, ibu bapa dan murid. Saban tahun ketidakpastian selalu timbul dan tidak pernah memungkinkan kepada sebuah kepastian yang justeru tidak berupaya membuat ketiga-tiga pihak tadi memasuki tahun persekolahan baru dengan tenang dan pasti.

Mengapa hal sebegini terjadi? Jawapannya sangat mudah, perkara ini terjadi apabila pendidikan dikendalikan dengan kedangkalan makna. Pendidikan adalah sebuah proses menyeluruh, jadi melihat pendidikan mestilah dengan seluruh aspek. Kurikulum sekolah yang sering berubah apabila memasuki tahun persekolahan baru membuatkan guru-guru sering diliputi dengan pelbagai pertanyaan.

Pelbagai persoalan bermain di benak guru-guru. Antaranya adakah subjek-subjek yang akan berubah atau sama seperti tahun lepas? Jika ada perubahan, apakah subjek yang akan berubah? Jika ada, maka bahagian manakah yang perlu disiapkan? Justeru pertanyaan-pertanyaan yang selalu menghantui guru-guru ini jelas menjadikan mereka mangsa pertama atas perubahan ke atas polisi yang tidak berkesinambungan. Setiap perubahan baru yang berlaku pasti membawa kesan baru. Realitinya adalah polisi baru dalam dunia pendidikan tidak mudah diimplementasikan sebagaimana pada bidang yang lain.

Sistem pendidikan di Malaysia sering berubah-ubah mengikut keperluan semasa. Misalnya, apabila kecoh di seluruh negara tentang kadar pengangguran dalam kalangan graduan meningkat secara mendadak, kajian ala-ala `mi segera' dijalankan oleh pihak-pihak berkaitan bagi mencari puncanya. Kesimpulan dari kajian yang dijalankan mendapati bahawa graduan kita menganggur kerana gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Maka, PPSMI (Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) diperkenalkan. Kononnya, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Haru-biru guru-guru di sekolah yang sudah berpuluh tahun mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu. Tahun ini, PPSMI dimansuhkan untuk pelajar darjah satu dan tingkatan satu. Guru-guru yang mengajar masih belum hilang pening kepalanya, bertukar pula cara pengajaran dengan alasan untuk memartabatkan bahasa melayu.

Sama halnya apabila sesuatu realiti negatif muncul, maka pihak pembuat dasar segera bertindak untuk mengatasi keadaan tersebut. Sepanjang tahun lalu dan tahun-tahun sebelumnya, satu per satu mayat bayi ditemui. Di sungai, dalam perangkap sampah, dalam tong sampah, ditanam di dalam kebun, dalam tandas sekolah dan di mana-mana sahaja. Ramai pihak bersidang bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Maka, mata pelajaran Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) atau dengan nama lain, pendidikan seks, diperkenalkan di semua sekolah kebangsaan. Sekali lagi kononnya, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ironinya kali ini, bukan sekadar guru-guru sahaja yang pening kepala, masyarakat juga ikut tepuk dahi. Pendidikan Seks untuk pelajar darjah satu? Apa yang diajar? Apa terasnya? Apa rasionalnya untuk pelajar darjah satu? Persoalan demi persoalan yang diajukan, masih belum habis terjawab sehingga ke hari ini.

Apabila ramai murid kena langgar, kerajaan memperkenalkan mata pelajaran lalu lintas dan cetak buku aktiviti untuk murid-murid. Apabila timbul kes jenayah seks, kerajaan wujudkan PKRS dan cetak lagi buku. Bila kes pesakit mental meningkat, perkenalkan pula Modul Kesihatan Mental dan cetak buku lagi. Tahniah, Malaysia memang cekap! Tapi dalam konteks apa? Begitulah keadaan kurikulum Pendidikan di Malaysia. Berubah mengikut suasana dan perkembangan dunia. Begitu juga dengan kurikulum PKRS ini.

Negara-negara yang Mengajarkan Pendidikan Seks di Sekolah.

Amerika Syarikat (AS): Kanak-kanak berusia antara 7-12 tahun diwajibkan mengikuti kelas Pendidikan Seks, namun kebanyakan sekolah mewajibkan kelas pendidikan seks bermula pada umur 5-6 tahun. Dua bentuk utama pendidikan seks diajar di AS, iaitu bentuk komprehensif dan bentuk larangan. Pendidikan seks secara komprehensif merangkumi segala-galanya tentang kontrasepsi (kaedah mencegah kehamilan) dengan teknik persetubuhan atau menggunakan alat pencegahan tertentu termasuk bahaya seks tanpa kondom. Konsep ini tidak terkecuali dari diajarkan kepada anak-anak Malaysia. Sementara pendidikan yang berbentuk larangan pula akan mendedahkan bahawa remaja harus tetap suci sehingga berkahwin dan menjauhi kontrasepsi.

Australia: Australia tidak mempunyai kurikulum pendidikan seks yang menyeluruh kerana pihak sekolah diberi kebebasan penuh untuk mengajarkan apa yang mereka inginkan dan pada tahap manakah sesuatu matapelajaran akan diterapkan. Perbezaan pendapat dalam kalangan guru sering terjadi disebabkan bentuk pendidikan yang diberikan adalah berbeza-beza.

Eropah: Masyarakat Eropah berfikiran terbuka dalam pendidikan seks, bahkan kurikulum itu juga disokong oleh kerajaan. Di Perancis, pendidikan seks telah menjadi sebahagian kurikulum sekolah dan mereka memperuntukkan antara 30-40 jam waktu kuliah atau aktiviti bagi mata pelajaran pendidikan seks. Mereka juga mengagihkan kondom untuk tahun lapan dan tahun sembilan (peringkat menengah). Sementara di Sweden pula, pendidikan seks juga menjadi sebahagian pendidikan wajib di sekolah, dan diselitkan ke dalam mata pelajaran seperti Biologi dan Sejarah. Hal yang sama berlaku di Finland di mana pendidikan seksual ini biasanya dimasukkan ke dalam pelajaran Biologi tetapi kemudian digabungkan dengan masalah kesihatan awam. Manakala di Britain, pendidikan seks tidak wajib di sekolah kerana sebahagian ibu bapa menolak matapelajaran ini disebabkan pengaruh negatif yang hinggap pada anak-anak mereka. Di Jerman, pendidikan seks adalah di bawah perintah kerajaan. Kajian menunjukkan bahawa di antara bangsa-bangsa Eropah, remaja Jerman paling mengetahui tentang kontrasepsi. Di Belanda, kerajaannya memberikan subsidi pendidikan seks bagi kaum muda dan memberi mereka kemahiran untuk membuat keputusan sendiri berhubung dengan seksualiti dan kesihatan.

Cukuplah sekadar sekilas pandang untuk diketahui, namun cukup bererti untuk direnungi. Jika kita mengimbas kembali sedikit masa dahulu, kerajaan Malaysia pernah bercadang untuk memberi kondom secara percuma kepada penagih dadah agar jenayah dadah dan kes buang bayi dapat dicegah. Disebabkan masih ada suara-suara yang bangkit menolaknya, maka cadangan itu ditangguhkan. Apa yang perlu disedari di sini ialah, melalui pendidikan seks ini anak-anak kecil akan kenal apa itu kondom, dan pastinya mereka tercari-cari dan cuba untuk memakainya. Sekiranya pendidikan seks diteruskan, tidak keterlaluan untuk diramalkan bahawa suatu hari nanti sekolah-sekolah akan dibekalkan dengan kondom untuk dijadikan bahan eksperimen kepada para pelajar, dan akhirnya pada masa itu limpahan kondom akan berubah seperti belon bagi anak-anak kecil yang masih mentah dalam soal dosa dan pahala.

Ilmu tanpa amal tidak sah, teori tanpa praktikal tidak sempurna. Justeru, tentu sekali pendidikan seks akan berubah menjadi gelombang zina yang cukup dahsyat, namun ketika itu kesedaran sudah hilang kerana anak-anak zina takkan lahir lagi hasil daripada praktikal pengetahuan pencegahan kehamilan. Bukalah minda dan lihatlah dengan pemikiran yang jernih, tanyakan kepada diri sendiri, apa sebenarnya tujuan di sebalik pendidikan seks ini? Adakah hukum Allah yang cuba ditegakkan? Adakah syariat Islam yang cuba diterapkan? Ternyata, jawapannya tidak, pendidikan seks yang sedang dikurikulumkan ini motifnya bukan sama sekali bertujuan untuk mengelakkan zina atau budaya berpasang-pasangan (coupling), tetapi kerajaan hanya berhasrat untuk membersihkan nama Malaysia dari fenomena kes buang bayi. Setelah anak-anak kecil ini mahir bagaimana mengelakkan kehamilan, malapetaka perzinaan akan berleluasa bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, tapi tersorok di sebalik dahan pokok di mana ia tumbuh. Saat dan ketika itu tiada manusia yang sedar, apabila remaja wanita sudah 'stand by' dengan kondom di dalam poketnya apabila keluar dengan pasangan, remaja lelaki pula sudah mahir bagaimana "teknik semulajadi" agar kandungan tidak terhasil setelah persetubuhan, maka gembiralah si Yahudi dan si Nasara, bersoraklah si syaitan dan iblis lantaran fikiran umat Islam telah diperdayakan. Apakah kalian tidak memikirkan?

Benarlah firman Allah….

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka,” [TMQ al-Baqarah (2): 120]

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [TMQ al-Baqarah (2): 208]

Lihatlah fenomena negara-negara barat yang dinyatakan di atas, itu adalah fakta. Sekolah-sekolah mengagihkan kondom kepada pelajar agar mereka tahu menggunakannya. Apakah kita mahu generasi kita juga sebegitu? Pulang ke rumah bukan lagi membawa buku, tapi seplastik kondom untuk ditunjukkan kepada ayah dan ibu. Kesan baik memanglah ada, tetapi buruknya seribu kali ganda. Sejarah kegemilangan pemerintahan Islam yang menguasai satu pertiga dunia, tidak pernah mencatatkan kewujudan pendidikan seks. Namun negara kuffar Barat yang Islam bukannya menjadi agama mereka telah memperkenalkannya. Faktanya sekarang Malaysia sedang mengikuti jejak langkah mereka.

Apa yang dibongkarkan ini tidak mungkin terjadi dalam masa sebulan akan datang, tetapi lihatlah dalam masa 10 tahun akan datang. Ketika itu semuanya sudah suram. Apabila ditanya kepada remaja bilakah kali pertama kamu melakukan hubugan seks, tentu mereka akan menjawab segalanya bermula di sekolah rendah. Ketika itu semuanya menerima padah. Ramai yang masih belum melihat bagaimanakah rupa bentuk buku pendidikan seks yang telah diterbitkan oleh kuffar barat, sangat sukar untuk digambarkan di sini. Justeru, isu ini bukanlah isu lapuk, jika ia dikatakan sudah lapuk, ingatlah apabila keburukan mula dilakukan maka penentangannya tidak akan berakhir sehingga ia berjaya dihapuskan.

Bantahan Terhadap Pengenalan Pendidikan Seks.

Pengenalan silibus pendidikan seks ini telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak walaupun ia adalah idea yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Pihak-pihak tersebut berani menyatakan ketidakwajaran silibus ini diajarkan di sekolah-sekolah. Antaranya adalah Pertubuhan Guru. Mereka membantah cadangan memperkenalkan PKRS sebagai satu subjek di sekolah kerana ia disifatkan bukan penyelesaian kepada masalah sosial di kalangan remaja, sebaliknya hanya menambah beban guru.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata kesatuan itu terkilan dengan gesaan mempercepatkan pelaksanaannya oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tanpa berbincang atau mendapatkan pandangan daripada kesatuan guru atau peringkat akar umbi. Pada pendapat beliau, pelaksanaan secara terburu-buru akan menimbulkan banyak masalah sehingga merugikan pelajar. Guru ketika ini juga tidak mempunyai kemahiran khusus dalam bidang kesihatan reproduktif.

“Usaha membanteras gejala buang bayi yang semakin berleluasa ketika ini harus berpaksikan pengukuhan pendidikan agama dan moral secara lebih mendalam. Pegangan teguh kepada amalan agama dan nilai moral yang tinggi akan mencegah remaja daripada terpengaruh dengan gejala seks bebas yang menjadi punca utama peningkatan kes buang bayi,” katanya. [Berita Harian, 22/4/2010]

Sementara itu mantan Perdana Menteri Malaysia juga tidak terkecuali dari menyuarakan bantahan terhadap isu ini. Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat bahawa pendidikan seks tidak perlu dijadikan sebagai subjek khas di sekolah-sekolah kerana sudah terdapat dalam pengajaran agama Islam. Beliau mengatakan lagi bahawa subjek khas mengenai seks tidak perlu tetapi memadai dengan menjelaskannya dengan baik mengenainya supaya anak-anak faham dan tidak mudah terpengaruh dengan nafsu. Menurut beliau, dalam subjek agama Islam boleh dimasukkan perkara-perkara yang mengajar anak-anak berdisiplin dan mengawal nafsu kerana ia sebahagian daripada ajaran Islam. “Akibat tidak mengawal nafsu bayi dibuang ke dalam tong sampah dan kerana itu dalam pembelajaran agama Islam perlu ditekankan tentang pentingnya pengawalan nafsu,” katanya pada satu sidang akhbar.

Seterusnya, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak bersetuju dengan pendidikan seks diajar di sekolah kerana menganggap langkah itu memberi lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada generasi muda. Ia menggalakkan kanak-kanak di bawah umur mempelajari ilmu seks sesama mereka menyebabkan wujudnya gejala negatif seperti pembuangan bayi. “Dalam Islam sendiri sudah ada pengajaran seks iaitu antaranya kita diwajib mengasingkan tempat tidur apabila anak-anak meningkat umur tujuh tahun, mereka juga diminta hanya melihat bahagian muka dan telapak tangan sahaja apabila bertunang,” katanya. Beliau menyelar tindakan sesetengah pihak yang mencadangkan pendidikan seks di sekolah dan menganggap tindakan itu seperti mengajar pencuri kaedah mencuri dengan betul. Beliau juga mahu agar perbuatan zina dalam Islam dinyatakan sebagai ''zina'' dan bukan ''seks bebas'' seperti yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Jelas di sini sebenarnya ramai pihak yang membantah pengajaran pendidikan seks di sekolah tetapi pihak kementerian masih beria sangat untuk melaksanakannya. Tidak lain dan tidak bukan ia disebabkan desakan dan perancangan serta agenda Yahudi APCO (Syarikat Consultan luar Negara yang dimiliki oleh Yahudi) agar melaksanakan agenda Freemason mereka yang dinamakan 'LIBARIM'. Antara perancangan mereka adalah:

1. Melenyapkan etika klasik yang mengekang pergaulan muda-mudi, termasuk melalui penyebaran seks bebas.

2. Menghapuskan hukum yang melarang kahwin antara agama untuk mencipta generasi bebas agama (atheism dan freethinker).
3. Pengembangan pendidikan seks di sekolah-sekolah.
4. Persamaan hak antara lelaki dan perempuan dalam hal 'kedudukan waris' dan 'pakaian'.
5. Menggembalakan pemuda-pemudi ke dunia khayalan, dunia muzik, dan narkotik. (Akademi Fantasia, Malaysian Idol, One in A Million dan sebagainya)
6. Mendirikan bait-satan (rumah syaitan) untuk menampung pemuda-pemudi ke alamnya.
7. Mengorganisasikan kaum gay, lesbian, lutherian serta menggalakkan perakuan menuntut hak mereka dalam hukum.

Inilah yang terjadi di Barat apabila mula menjadikan Pendidikan Seks sebagai salah satu kurikulum pembelajaran di sekolah pada tahun 1970-an. Akibatnya ia telah merosak dan menghancurkan nilai akhlak kemanusiaan di negara mereka. Kenapa kita hendak memulakannya pula di negara kita? Sedangkan semua kita tahu penyakit ini bermula di Barat dan apabila kita menelan ubat yang sama nescaya kita juga akan mewarisi kesan dan akibat serta penyakit yang sama.

Kurikulum Pendidikan dalam Islam.

Penyelesaian terbaik terhadap krisis kurikulum pendidikan di sekolah ini adalah menyelesaikan permasalahan remaja hari ini mengikut syariat dan tuntutan dalam Islam. Islam adalah agama yang lengkap. Segala permasalahan yang berlaku di dunia hari ini hanya akan dapat diselesaikan dengan penyelesaian secara Islam. Kesempurnaan Islam jelas disebut melalui firman Allah:

“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu.” [TMQ al-Maa'idah (5): 3]

Kebanyakan kes yang berlaku seperti zina dan pergaulan bebas adalah berpunca dari kejahilan mereka terhadap agama seperti hukum halal dan haram. Remaja menganggap persoalan aurat dan pergaulan bebas adalah perkara remeh dan tidak penting. Akibatnya mereka gagal mengawal diri mereka lalu menjerumuskan diri mereka ke lembah maksiat.

Pendidikan seks di dalam Islam merupakan bahagian integral dari pendidikan akidah, akhlak, dan ibadah. Terlepasnya pendidikan seks dengan ketiga unsur itu akan menyebabkan ketidakjelasan arah dalam pendidikan seks itu sendiri, bahkan mungkin akan menimbulkan kesesatan dan penyimpangan dari tujuan asal manusia melakukan kegiatan seksual iaitu dalam rangka pengabdian kepada Allah. Oleh karena itu, pelaksanaan pendidikan seks tidak boleh menyimpang dari tuntutan syariat Islam.

Ibu bapa adalah pihak yang paling bertanggungjawab terhadap anak dalam masalah pendidikan, termasuk pendidikan seks. Guru di sekolah hanyalah pembantu yang memangkin potensi anak-anak dalam pembelajaran. Anak adalah generasi yang diciptakan untuk kehidupan masa depan. Sepatutnya ibu bapalah yang memberikan bekal berupa pendidikan yang menyeluruh, termasuk pendidikan seks. Ibu bapa manapun tentu selalu menginginkan anaknya menjadi anak yang baik. Ibu bapa dituntut memiliki kepekaan, keterampilan, dan pemahaman agar mampu memberi informasi dalam keadaan tertentu, yang justru tidak membuat anak semakin bingung atau keliru. Jadi, dalam hal ini, sesungguhnya tidak perlu diadakan kurikulum khusus tentang pendidikan seks di sekolah-sekolah.

Khatimah

Pendidikan Islam sendiri sudah merangkumi pendidikan berkait dengan hubungan seks yang terdidik dengan hukum-hakam di sebalik pengajian ibadah, akhlak dan aqidah. Malangnya, sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang tidak menitikberatkan pendidikan Islam menjadi punca remaja terus berada dalam kejahilan bahkan modul pengajian Islam di sekolah-sekolah masih tidak mampu untuk melahirkan pelajar yang berakhlak mulia. Ilmu agama hanya sekadar tempelan dan bukan menjadi ilmu teras. Sekiranya pendidikan Islam diterapkan secara komprehensif dalam sistem pendidikan di sekolah InsyaAllah ia akan mampu membendung gejala maksiat dan zina. Di samping itu, untuk melahirkan masyarakat Islami, semua pihak perlu memainkan peranan termasuklah institusi guru, keluarga dan masyarakat lebih-lebih lagi pihak penguasa yang perlu menguatkuasakan perundangan syariah secara menyeluruh.

Selagi sikap lepas tangan dan enggan kembali kepada penyelesaian secara Islam yang hakiki masih tegar diamalkan nescaya selama itulah masalah yang sama akan terus muncul dalam versi yang lebih dashyat dan tanpa disedari umat Islam sebenarnya berlegar dalam perangkap dan kerangka sekular Yahudi Freemason ini.

1 comment:

  1. ALHAMDULILLAH, ARTIKEL INI SANGAT MENARIK DAN MEMBERI INPUT PENGETAHUAN YANG MENDALAM BUAT SAYA. SYUKRAN YE CIKGU MUZIMI

    ReplyDelete