Kebelakangan ini banyak tanggapan pelajar yang mengatakan sejarah sebagai subjek yang sangat membosankan. Malah ada yang melihat sejarah sebagai bebanan dalam kehidupan seorang pelajar. Banyak sebab yang boleh disenaraikan bagi menjelaskan punca hilang minat pelajar terhadap matapelajaran sejarah. Di antara punca yang menyebabkan sejarah kurang diminati ialah
- Perkembangan Teknologi Maklumat
- Dasar kerajaan terhadap Sains dan Matematik
- Teknik pengajaran sejarah yang tidak menarik
- Sistem penilaian berasaskan peperiksaan
Tulisan ini akan cuba membincangkan sebab-sebab yang disenaraikan di atas sahaja. Walau bagaimanapun penulis tidak menafikan terdapat banyak lagi aspek yang turut mempengaruhi minat pelajar.
Perkembangan Teknologi Maklumat
Perkembangan teknologi maklumat telah menyebabkan pelajar memperolehi sumber maklumat yang banyak dan tanpa batasan. Keadaan ini menyebabkan pelajar lebih suka memilih bahan bacaan atau laman web yang memaparkan sesuatu yang baru dan tidak bersifat sejarah Malaysia. Pendedahan yang berlebihan terhadap dunia internet menyebabkan pelajar banyak menghabiskan masa dengan melayari laman-laman web yang bersifat hiburan dan permainan (games). Laman web berasaskan sejarah Malaysia dan dunia yang memiliki bahan yang baik seperti (hanya sekadar memberikan beberapa contoh)
- http://sejarahmalaysia.pnm.my/
- http://www.psm.org.my/
- http://www.sabrizain.org/malaya/
- http://www.touregypt.net/ehistory.htm
Kalau ada bahan sejarah yang dicari oleh pelajar, kebanyakannya lebih bertumpu kepada nota ringkas, soalan percubaan atau ramalan peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Menyalahkan pelajar dan guru bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Sistem penilaian di Malaysia memang bergantung hanya kepada aspek peperiksaan semata-mata.
Justeru, pendidik wajar memanipulasi medium berteknologi terkini dan boleh dicapai pada bila-bila masa (Bradenburg and Carrol, 1995) penting untuk menarik minat pelajar terhadap matapelajaran sejarah. Antara teknologi terkini yang perlu diberi perhatian ialah
- Meningkatkan aspek kosmetik dan permainan dalam pendidikan sejarah di internet.
- Penggunaan teknologi handphone dan aplikasi mudah alih.
- Peralihan kaedah penyampaian bersemuka kepada sistem diskusi dan chatting di internet.
Implementasi kaedah ini akan turut melibatkan kos yang begitu tinggi. Justeru, focus perbelanjaan pembangunan pendidikan di Malaysia yang begitu tinggi dirasakan sangat tepat. Di samping itu sokongan infrastruktur dan dasar yang positif diharap memberi impak yang besar untuk tahun-tahun akan dating.
Kaedah Pengajaran Berkesan
Kaedah pengajaran yang tidak berkesan dan membosankan merupakan salah punca utama matapelajaran sejarah tidak diminati. Menurut Koh Boh Koon (1992) proses pengajaran di dalam kelas seharusnya melibatkan dua pihak guru-pelajar. Sekiranya guru hanya menitik beratkan proses menghabiskan syllabus berbanding aspek penghayatan dan penerapan nilai sejarah boleh menyebabkan interaksi dua hala ini hilang fokus. Kesannya pelajar hilang minat (Atan Long, 1982) dan beranggapan matapelajaran sejarah sebagai suatu beban akademik. Di bawah dicadangkan dua kaedah pembelajaran:
1. Sistem Pengajaran Kendiri
Teras idea ini datangnya daripada perkembangan aspek teknologi dalam capaian maklumat. Justeru, pendekatan ini boleh menjadi alternatif terbaik dalam pembelajaran sejarah iaitu dengan memindahkan beberapa tajuk atau sub tajuk dalam bentuk paparan komputer yang boleh diakses pada bila-bila masa. Ini membolehkan pelajar bersedia dari segi masa dan mempunyai kebebasan untuk memilih sub topik yang dikehendaki untuk proses pembelajaran kendiri. Ini dapat menjimatkan masa pelajar iaitu topik yang telah difahami tidak perlu diakses semula. Dalam kaedah ini penggunaan teknologi terkini iaitu laman web dan internet dimanipulasi selari dengan minat generasi yang suka meneroka persekitaran yang baru. Persekitaran yang baru akan menyebabkan pelajar banyak memberikan tumpuan kepada kaedah penggunaan dan penerokaan (Wlodkowski, R.J. 1978).
2. Pembelajaran Koperatif dan Jigsaw – Dalam kaedah ini guru akan membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan akan diberikan tugasan tertentu yang perlu disiapkan. Guru sewajarnya memberikan pelajar masa untuk membuat perbincangan dan carian maklumat. Kaedah ini dapat memupuk semangat berpasukan di kalangan pelajar. Selain itu ia juga dapat meningkatkan kemahiran mendengar, penyampaian, dan pemikiran kreatif (Felder & Brent, 2004). Pembelajaran Koperatif melalui interaksi bersemuka akan membantu setiap pelajar untuk cuba memahami aspek kemahiran dan juga untuk membina kefahaman bagi memberi penerangan kepada rakan di dalam kumpulan. (Karrie A. Jones and Jennifer L. Jones, 2008: http://www.uncw.edu/cte/ET/articles/Vol8_2/Jones.htm). Kaedah Jigsaw menurut Hafizah Hussain (2006) menekankan lima perkara:
a. Pergantungan secara positif
b. Tanggungjawab
c. Interaksi secara bersemuka
d. Mempraktikkan kemahiran iunterpersonal mengikut kesesuaian
e. Penilaian kendiri secara berterusan
Pelajar akan di bahagikan mengikut kumpulan kecil yang terdiri daripada 4-5 orang pelajar. Setiap kumpulan akan diberi satu tajuk berkaitan dengan kursus yang diambil. Setiap pelajar akan mencari maklumat sehingga menjadi ‘pakar’ dalam tajuk berkenaan. Selepas setiap pelajar menjadi ‘pakar’ maka satu kumpulan baru akan dibentuk. Justeru aspek pembelajaran akan dilakukan oleh pelajar sebagai pengajar.
Dasar Kerajaan
Salah satu aspek yang banyak mempengaruhi tumpuan pelajar terhadap kejayaan pengajaran sejarah ialah aspek dasar. Sejak kebelakangan ini tumpuan terhadap Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris sangat ditekankan. Keadaan ini menimbulkan salah tafsir pada pelajar bahawa hanya tiga matapelajaran ini yang paling penting. Keadaan ini diburukkan lagi oleh sikap ibu bapa yang lebih banyak memberi tumpuan kepada matapelajaran yang mempunyai nilai komersial atau memenuhi kehendak pasaran kerja ekonomi moden.
Keberkesanan sesuatu dasar banyak bergantung kepada aspek penyampaian atau dengan bahasa yang lebih mudah cara pengiklanan. Proses pengiklanan setiap dasar harus dibuat dengan cara yang berat sebelah untuk mengelakkan salah faham dipihak ibu bapa dan masyarakat. Kegagalan kaedah penyampaian dasar memberi implikasi yang sangat besar terhadap aspek pembinaan semangat patriotik, sikap hormat menghormati terhadap perbezaan budaya dan agama penduduk di Malaysia.
Sistem Penilaian Prestasi Pelajar
Sistem penilaian prestasi berasaskan peperiksaan merupakan kaedah yang paling berkesan untuk menilai pencapaian seseorang pelajar. Kaedah telah dilaksanakan di China sejak Dinasti Song. Walau bagaimanapun kaedah ini hanya melahirkan generasi yang menghafal tahun, nama watak dan nama tempat tanpa memahami secara rasional sesuatu peristiwa. Sistem peperiksaan turut menyebabkan kreativiti pelajar untuk melahirkan idea baru atau interpretasi baru sesuatu peristiwa dikongkong oleh buku teks untuk tujuan peperiksaan sahaja. Aspek pemahaman menjadi tidak penting. Justeru selepas berakhirnya peperiksaan PMR, SPM dan STPM kebanyakan pelajar gagal untuk mengingati semula fakta disebabkan matlamat belajar sejarah hanya untuk lulus peperiksaan. Contoh yang plaing ketara pelajar yang memperolehi markah yang tinggi tetapi tidak berketrampilan dan lemah dalam aspek pengucapan awam. Akibatnya markah yang tinggi hanya wujud di atas kertas, penilaian aspek lain tidak diambil kira. Keadaan ini meminggirkan pelajar yang aktif dan pandai dalam sukan dan pidato teapi kurang dalam aspek akademik.
Kaedah penilaian berasaskan peperiksaan telah diamalkan sejak Dinasti Song harus dinilai semula. Sekiranya kita mahu pelajar yang dihasilkan seperti mana matlamat Falsafah Pendidikan Negara maka penilaian berasaskan peperiksaan harus dikurangkan markah dan dimasukkan unsur-unsur lain dalam penilaian. Diharapkan pengurangan aspek peperiksaan akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran sejarah lebih menarik dan tidak tertekan hanya kepada satu factor sahaja.
Kesimpulan
Melalui artikel ini penulis hanya menggariskan empat faktor yang menyebabkan matapelajaran sejarah kurang diminati. Di antara keempat-empat faktor ini semuanya memiliki kelemahan masing-masing. Walau bagaimanapun penulis berpendapat aspek teknik pengajaran memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi minat pelajar terhadap matapelajaran sejarah.
No comments:
Post a Comment