Dalam pengertian yang lebih meluas,
hukuman rotan di sekolah adalah bertujuan untuk mendisiplinkan murid,
membantu mereka agar lebih terarah dan lebih bertanggungjawab dalam
mematuhi peraturan sekolah. Kuasa merotan murid yang diberikan kepada
pengetua/guru besar dan guru-guru (yang diberikan kebenaran bertulis
oleh pengetua/guru besar) bukanlah semata-mata untuk mendera atau
mencederakan murid sehingga meninggalkan bekas di badan, menyebabkan
mereka berasa malu dan trauma untuk datang ke sekolah.
Bagaimanapun itulah juga yang berlaku
kepada seorang murid tahun empat yang mendakwa telah dirotan oleh
gurunya di bahagian tubuh yang tidak dibenarkan dalam peraturan. Berikut
adalah antara petikan daripada akhbar yang dapat saya kongsikan di
sini.
“Seorang murid tahun empat trauma untuk pergi ke sekolah selepas mendakwa dia dirotan oleh seorang guru selepas menghantar kertas ujian di sebuah sekolah di Kuala Besut di sini pada Rabu lalu.Semasa kejadian, Wan Mohd. Faris Wan Zukri, 10, mendakwa dia baru menghantar kertas ujian kertas pendidikan Islam sebelum dikejutkan dengan tindakan guru lelaki itu yang tanpa sebab telah merotan badannya secara tiba-tiba.Tindakan guru itu menyebabkan dia terkencing di dalam kelas kerana menahan kesakitan… - (Sumber: Kosmo Online)
Jika kita merujuk kepada Surat
Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil.7/2003, kuasa merotan murid tidak dimiliki
oleh semua guru tetapi ia dipegang oleh pengetua/guru besar sesebuah
sekolah. Guru-guru lain hanya boleh melaksanakan hukuman rotan sekiranya
pengetua/guru besar menurunkan kuasa tersebut kepada guru lain dengan
kebenaran bertulis (Lampiran A).
Selain itu, walaupun pengetua/guru besar
atau guru-guru yang diberikan kuasa merotan tadi melaksanakan hukuman
berkenaan, mereka juga tertakhluk kepada peraturan yang ditetapkan dan
bukan melakukannya sesuka hati. Untuk lebih jelas, boleh rujuk
pekeliling yang dimaksudkan di bawah.
No comments:
Post a Comment