Friday, 17 February 2012

Membazir hantar ke luar negara

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara sebagai membazir dan membuang masa.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk memperkasa kemahiran guru tersebut tanpa perlu meninggalkan sekolah kerana ia dilihat lebih praktikal serta tidak melibatkan kos yang tinggi.
"Adakah dengan menghantar guru ke luar negara benar-benar mampu menjamin mereka dapat memberi impak seperti yang diharapkan setelah pulang nanti?
"Saya yakin dengan kemampuan semua guru bahasa Inggeris sedia ada kerana mereka memiliki kelayakan yang cukup setelah mengikuti pengajian selama empat tahun di universiti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kementerian Pelajaran mengkaji untuk menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara agar penguasaan mereka dalam bahasa itu dapat dimantapkan.
Mengulas lanjut, Hashim turut mencadangkan kepada kementerian supaya menggunakan semua pakar bahasa Inggeris tempatan termasuk yang telah bersara dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa dan teknik pengajaran guru terbabit melalui kursus-kursus pendek.
"Adalah lebih baik sekiranya pakar-pakar tempatan mengadakan kursus kepada guru Bahasa Inggeris di setiap sekolah untuk berkongsi pengalaman dan idea mereka bagi tujuan tersebut.
"Jangan memandang rendah serta memperlekehkan kemampuan pakar-pakar tempatan yang sebenarnya mampu memberi sumbangan besar dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris guru di negara ini," ujarnya.
Tambah beliau, guru-guru juga perlu mengambil inisiatif sendiri dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing supaya mereka dapat bertutur dengan lebih yakin.
"Apa yang lebih penting, guru terlibat perlu membudayakan penggunaan bahasa itu bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga dalam kehidupan seharian," katanya.

Utusan Malaysia Online: 16 Februari 2012

No comments:

Post a Comment