Wednesday, 15 February 2012

Teknik Mengulangkaji Yang Betul

Teknik-Teknik Mengulangkaji Pelajaran
Oleh Taidin Suhaimin

Petikan Kata-Kata Motivasi Belajar :
"Kemahiran belajar disertai dengan motivasi belajar yang tinggi telah terbukti boleh meningkatkan pencapaian pelajar dalam peperiksaan." - (Gall & Rakan-Rakan, Tools for Learning).

Pengenalan
Artikel ini menjelaskan pengertian dan kepentingan mengulangkaji pelajaran serta bagaimana dan bila ulangkaji harus dimulakan.
Pengertian Mengulangkaji
Mengulangkaji adalah suatu proses mempelajari atau menyemak semula dengan tujuan memahami dan mengingat semua maklumat serta fakta dari nota-nota ringkas bahan-bahan pelajaran yang telah anda pelajari sebelum ini. Ia bukannya bertujuan mendapatkan maklumat-maklumat baru.
BAGAIMANA MENGULANGKAJI?
Antara perkara-perkara yang anda harus lakukan dalam proses mengulangkaji adalah:
  1. Membaca dan menyemak nota-nota bahan-bahan pelajaran sambil melengkapkan yang kurang. Ini akan memantapkan kefahaman dan ingatan anda terhadap subjek berkenaan.
  2. Membaca buku teks. Tujuannya untuk memastikan anda benar-benar faham setiap prinsip, isu dan fakta yang dimuatkan.
  3. Menjawab soalan-soalan latihan atau kerja rumah yang guru berikan. Ini akan membolehkan anda menguji kebolehan anda menjawab soalan yang sama dalam peperiksaan.
  4. Mengkaji contoh-contoh jawapan peperiksaan tahun lepas bersama skima jawapan. Ini akan membolehkan anda membiasakan diri menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan lebih yakin dan pantas.
  5. Menjawab soalan-soalan yang  berbentuk objektif. Ini akan membolehkan mengetahui soalan-soalan yang anda sudah tahu menjawabnya dan soalan-soalan yang mengelirukan agar semasa peperiksaan jika soalan yang sama keluar, anda akan dapat menjawab dengan yakin.
  6. Bersoal jawab bersama-sama rakan. Selain ini membolehkan anda mengenalpasti sama ada anda sudah cukup bersedia atau tidak menghadapi peperiksaan, pada masa yang sama, anda juga boleh mendapat penjelasan tentang bahagian-bahagian yang anda kurang faham dari rakan anda yang mungkin sudah menguasai bahan pelajaran itu.

Tempoh Mengulangkaji (Pecutan Akhir)
Adalah mustahil untuk menyatakan dengan tepat jumlah masa yang perlu diperuntukkan untuk mengulangkaji kerana kemampuan seseorang itu berbeza. Ada pakar yang mengatakan bahawa masa mengulangkaji perlu dilakukan selama 3 bulan. Ada pula yang berpendapat selepas peperiksaan percubaan kerana anda telah menamatkan tempoh belajar bagi menghadapi peperiksaan percubaan. Yang lain pula mengatakan selama 3 minggu. Ada juga yang berpendapat mengulangkaji secara ringkas setiap minggu akan menambahkan keyakinan seseorang itu menghadapi peperiksaan. Tetapi, sebagai panduan, 6 hingga 8 minggu di saat terakhir peperiksaan merupakan tempoh yang baik untuk memulakan proses mengulangkaji. Namun, bagi pelajar yang lemah hendaklah proses mengulangkaji pecutan akhir ini dibuat lebih awal daripada yang disarankan di atas.
Anda mungkin perlu membuat ulangkaji beberapa kali sehinggalah anda benar-benar dapat menguasai setiap mata pelajaran anda.
Merancang Program Mengulangkaji
  • Buat jadual ulangkaji yang seimbang bagi tiap-tiap mata pelajaran. Jadualkan juga masa berehat untuk mengurangkan ketegangan. Dalam mengulangkaji pelajaran, anda hendaklah berehat setiap 20 hingga 30 minit. Waktu rehat sekurang-kurangnya 5 minit.
  • Tumpukan pada topik utama sahaja. Tanya guru anda untuk mendapatkan "hint" (bayangan) tentang topik yang mungkin akan disoal di dalam peperiksaan. 
  • Semak contoh-contoh soalan tahun-tahun yang lalu supaya anda dapat menjangka bentuk jawapan yang diperlukan.
  • Ulangkaji dengan cermat setiap mata pelajaran
  • Sediakan nota-nota ringkas, terutamanya bagi topik yang dijangka akan keluar. 
  • Buat rangka jawapan topik-topik yang dijangka keluar berdasarkan soalan-soalan peperiksaan yang lepas.
  • Latih diri anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang lepas mengikut waktu yang telah ditetapkan.
  • Rujuk kepada guru apabila menghadapi masalah berhubung dengan pelajaran.
  • Jangan sekali-kali ponteng kelas ketika hampir peperiksaan. Anda mungkin tertinggal tip-tip penting yang diberikan oleh guru atau pensyarah anda.
Pembahagian Mata Pelajaran Dalam Mengulangkaji
Mata Pelajaran Yang Anda Lemah
  • Cuba sedaya upaya kuasai mata pelajaran ini. Jangan berputus asa. 
  • Banyakkan bertanya kepada guru atau rakan tentang mata pelajaran ini.
Mata Pelajaran Yang Anda Kuat
  • Jangan ambil mudah walaupun anda fikir sudah menguasainya.
  • Beri masa yang secukupnya kepada pelajaran ini untuk memastikan kejayaan anda. 
  • Bila hampir hari peperiksaan, lebihkan lagi tumpuan anda kepada mata pelajaran seperti ini.
Menilai Keupayaan Anda
Anda haruslah menilai sejauh mana anda dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Berikut ini dipaparkan beberapa cara di mana anda boleh menilai serta memperbaiki keupayaan anda menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan.
1. Penilaian Dari Ujian dan Latihan 
Ujian / Peperiksaan yang dijalankan dalam kelas merupakan satu bentuk penilaian terhadap kefahaman dan keupayaan anda menjawab soalan-soalan peperiksaan yang sebenar. Berdasarkan keputusan ujian / peperiksaan tersebut, anda akan dapat mengetahui tahap penguasaan anda terhadap mata pelajaran-mata pelajaran anda. Melalui keputusan ujian tersebut, anda boleh memperbaiki segala kelemahan anda bagi menghadapi peperiksaan yang sebenar dengan jayanya.
2. Penilaian Dari Contoh Jawapan
Anda juga boleh menguji tahap keupayaan anda dengan menjawab soalan-soalan contoh jawapan. Selepas anda menjawab soalan contoh jawapan, bandingkan jawapan anda dengan contoh jawapan. Kenalpasti di manakah kelemahan anda dan buat pembaikan sewajarnya. 
3. Penilaian Secara Lisan
Contohnya, seorang pelajar menyoal kawannya dan meminta beliau menghuraikan secara lisan sehingga yang satu pihak lagi berpuas hati.

Mengatasi Kelemahan
Mencari Sebab (Post-Mortem)
Anda perlu mengkaji kelemahan anda setiap kali anda selesai menjawab soalan-soalan ujian. Setelah anda selesai membuat latihan ujian, semak setiap jawapan yang anda buat. Sekiranya jawapan anda salah, lakukan 'post-mortem' (suatu proses mencari sebab kelemahan dan kekuatan). Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan perkara utama yang perlu anda atasi.
Sebab-sebab kesalahan berlaku:
Anda Tidak tahu - Ini bermakna persediaan anda belum mencukupi. 
Penyelesaian: Peruntukkan masa yang sewajarnya untuk anda menguasai tajuk-tajuk tersebut.
Anda Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. 
Penyelesaian: Minta bantuan. Bertanyalah kepada guru atau rakan anda.
Anda Keliru – Anda tidak dapat memahami dengan jelas apa yang anda ingin pelajari atau fahami.
Penyelesaian: Tanyakan guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak berulang.
Anda Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi atau mengulangkaji apa yang telah anda pelajari. 
Penyelesaian: Kerapkan ulangkaji.
Anda Cuai – Anda tidak teliti semasa membaca soalan.
Penyelesaian: Pastikan anda mengikuti langkah-langkah penting dalam Strategi Menjawab Soalan. Pastikan anda benar-benar sudah memahami kehendak soalan sebelum menjawab.
Umumnya, kelemahan-kelemahan anda boleh diatasi dengan:
  • Segera / selalu bertanya kepada guru/rakan tentang masalah anda dalam pelajaran. 
  • Mendapatkan jawapan-jawapan yang betul bagi jawapan yang salah. 
  • Mengulangkaji dan membaca nota-nota anda dengan kerapkali. 
  • Memahirkan diri dengan teknik menjawab soalan berpandukan contoh jawapan.

No comments:

Post a Comment