PERANAN guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan
bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja
sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak
minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.
Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu
"Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan
sekali.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata,
setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti
tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat
memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.
"Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses
transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi
masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang
teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai
dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan
pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.
"Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan
diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak
akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.
"Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan
dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S).
"Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna
tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan
dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas
beliau.
Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi
pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun
lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan
negara.
"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan
bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi
dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi
Pengetua dan Guru Besar.
"Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua
pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas
menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan
membentuk generasi masa muka," tambahnya.
Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku
kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju
dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan
nilai setempat yang terpelihara sekian lama.
"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan
sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas
dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.
"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk
menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses
P&P dalam bilik darjah," ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan
inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.
"Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti
menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan
jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan
peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru
cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau.
Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun
Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan
Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid
walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa
kerajaan.
"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak
kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti
dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas
geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik,"
jelasnya.
Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada
golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan
kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya
"Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan
menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus
pra perkhidmatan.
"Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan
martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi
oleh masyarakat," terangnya.
Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak
akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat
kerajaan atau kementerian sahaja.
Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan
peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap
profesionalisme masing-masing.
"Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran
semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.
"Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah
P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan
dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment