PENDAHULUAN
Peperiksaan
penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM
memerlukan persedian lebih daripada sekadar membaca
semata-mata. Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang
mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda
tidak perlu takut dengan peperiksaan. Sebab sama ada anda
bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan
tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda
untuk berjuang. Untuk cemerlang dalam peperiksaan pelajar perlu
bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan
mengulangkaji semata-mata. Persediaan yang rapi memupuk
keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan
mereka.
Artikel yang
ditulis ini tidak mengajar subjek-subjek yang tertentu. Pelajar
perlu merujuk kepada guru kelas masing-masing tentang keTEPATan
dalam menjawab setiap soalan. Artikel di Laman-MAP ini
bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas tentang
persediaan-persedian seperti fizikal, mental, emosi dan ruhani.
Harapan saya, ia akan membolehkan pelajar melangkah ke dewan
peperiksaan dengan mengatakan ........ "AKU BOLEH BERJAYA".
Melangkah dengan fikiran yang positif.
Kepada Anak Didik
MAP, iaitu mereka yang pernah bersama saya dalam kursus Motivasi
Alihan Pelajar selama dua hari, saya ucapkan... "Selamat
Berjaya dan Buktikan Sememangnya Anda HEBAT".
|
PERSEDIAAN FIZIKAL
KESIHATAN
Sebagai pelajar anda memerlukan
kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian
mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan
yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan.
Sekiranya masih banyak yang anda perlu
ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan
pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa
kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang
berikut:
-
Tidur yang cukup. Tidur yang
cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari. Kurang tidur
menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh
sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk
kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa
tidur yang optimum ini dari sekarang.
-
Jaga pemakanan. Allah s.w.t
telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang
baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57). Yang
dimaksudkan sebagai yang baik disini ialah baik dari segi
sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan
lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan).
Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan
dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan
menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.
-
Riadah. Jangan beriadah
sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain
hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk
mengulangkaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama
20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah
senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat
akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton
dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang
anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.
KESELAMATAN
Anda perlu menjaga keselamatan
diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang
boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang
kecederaan. Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu
berada dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah
diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati anda sebenarnya
mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musim
menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada
dirumah.
|
PERSEDIAAN MENTAL
Pelbagai
Gambaran Negatif.
Kerapkali masalah yang dihadapi
oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan
kegagalan. Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh
namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu
fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:
-
Menyerah kalah sebelum
berjuang. Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka
tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat apa belajar
kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka
percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan
kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini.
Mereka cuba membaca tetapi dengan keyakinan bahawa tidak
mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta
yang dibaca.
-
Merasa belum bersedia.
Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang
sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum cukup
bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau
segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang
dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan
yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih
baik? Semua ini bermain difikiran.
- Harapan ibu bapa yang
terlalu tinggi. Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan
kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa
berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak
tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang
terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada
anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka. Kepada ibu
bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan
melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing.
Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah
anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh. Anda
redha walau apa sekalipun keputusannya kelak. Ini akan
mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.
Berfikiran
Positif
Bagi mengatasi segala tekanan
mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif.
Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa
pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa
keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang
kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada
untuk berusaha sepenuhnya.
Sekiranya anda memikirkan
kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan
halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga
membuatkan anda meragui kebolehan diri anda.
Dalam berusaha anda mesti
berpegang kepada kata-kata seperti:
"Sedikit
pencapaian itu lebih baik dari tiada
pencapaian langsung".
"Something is
better than nothing"
Lakukan
"Latihan Minda" setiap hari.
"If you can't
see it, you can't have it".
Kata-kata di atas menunjukkan
bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran
kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam pemikiran.
Sebelum anda mampu mendapat 8A dalam PMR, maka 8A itu mesti
terlebih dahulu ada dalam pemikiran. Ia ibarat menghasilkan
sebuah lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak
gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda nampak
dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda
tidak akan menhasilkan sesuatu yang anda tidak gambarkan. Oleh
itu, gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk
merealisasikan apa yang digambarkan itu. Makin jelas gambaran
yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk
merealisasikannya.
Untuk membantu anda menggambar
dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.
-
Duduk dikerusi anda dengan
selesa. Tangan diletakkan di atas peha. Badan tidak
bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot,
sendi, uratsaraf dan pejamkan mata anda.
-
Tarik nafas beberapa kali
dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui
mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut
keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda
membuang segala ketakutan dan kebimbangan.
-
Saya percaya anda pernah capai
kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya mahu
anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu. Kejayaan itu
mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan
sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda.
Dimana ia berlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat
lihat? Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukat,
dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian
dengarkan duara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara
jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan
jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu. Rasakan
keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda
sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan
itu kembali.
-
Apabila perasaan yakin dan
bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda
dengan tangan. Biar terasa sedikit sakit. Buka mata anda,
dan pejam kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.
-
Kini pejamkan mata, gambarkan
anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda
duduk dikerusi dan diatas meja tersedia kertas soalan.
Rasakan ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini anda
membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang
anda baca keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan
bagaimana anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan
penuh keyakinan. Ide keluar mencurah-curah. Gambarkan 8A
dalam PMR (Gred 1 untuk SPM). Ketika ini sekali lagi cubit
kedua-dua peha anda seperti yang telah anda lakukan dalam
langkah 4 tadi.
-
Buka mata anda, ulangi langkah
5 beberapa kali.
-
Buatkan latihan minda ini 10 -
15 minit setiap hari. Sekiranya anda lakukan latihan ini
sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan
takut anda ketika berada didewan peperiksaan dengan menarik
nafas dan mencubit kedua-dua peha.
Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada
kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan
anda.
|
PERSEDIAAN EMOSI
Dalam
saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari
sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut
perlu dielakkan:
- Pertengkaran dengan
rakan-rakan;
- Melakukan perkara yang
membuatkan ibu bapa marah;
- Cinta monyet yang mungkin
kecundang disaat-saat peperiksaan;
- Bersikap terlalu yakin -
"overconfident";
- Berprasangka buruk
terhadap orang lain;
Ramai pelajar bertindakbalas
secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap
mereka. Tindakbalas spontan ini menjadi tabiat semulajadi
mereka. Apa perasaan anda kalau rakan membohongi anda? Anda
mungkin serta-merta menjadi marah. Apa berlaku kalau rakan
memulau dan mengejek anda? Anda mungkin rasa tersinggung dan
kecil hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan
berlaku dengan persediaan peperiksaan anda? Anda pasti tidak
mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya
luka dihati berkekalan berhari-hari.
Kenapa tidak selepas ini kawal
emosi anda. Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda. Mereka
boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan
sebagainya. Mereka ada suara, biarkanlah mereka. Anda cuma
pekakkan telinga. Banyakkan bersikap sabar. Teruskan sahaja
kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila anda
berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.
Sebenarnya peristiwa tidak
mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma andalah
yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang
berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif
atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif.
Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada
hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu
membenteng emosi anda. |
|
|
|
|
|
|
PERSEDIAAN ROHANI
Selain dari persediaan fizikal,
mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu
faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan
usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allah lah yang
menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu
disaat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu
untuk meraih ketenangan ini.
Antara perkara yang boleh anda
lakukan ialah:
- Sentiasa bermunajat kepada
Allah. Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan
ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan.
Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam
peperiksaan.
- Minta restu kedua ibu
bapa. Doa ibu bapa untuk anaknya sangat makbul. Jadi
mintalah restu dari keduanya. Mintalah mereka mendoakan
kejayaan anda.
- Banyakkan berzikir dan
membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan
memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda
sering membaca al-quran. Allah telah berfirman dalam surah
ar-Ra'ad, ayat 28, yang mafhumnya "Sesungguhnya dengan
mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".
- Jauhi maksiat. Jauhi diri
anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang
bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup
juga tidak diberkati Allah.
- Banyakkan berdoa.
Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.
|
MENGATASI PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN.
Saya tidak
tahu dimana patut bermula.
Jangan panik. Senaraikan semua perkara yang
perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian
yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan
tugasan, yang utama didahulukan. Rancang masa untuk
menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan
sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan. Anda
mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang
dibincangkan oleh guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat
yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari.
Berikan masa bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk
merancang strategi pembelajaran anda. Jangan terburu-buru,
mulakan belajar anda dengan topik yang senang dahulu. Mulakan
30 minit – 1 jam dahulu. Semakin lama, terutamanya apabila
semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar
anda.
Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan
semakin hampir.
Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat
tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting.
Fahami konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih
belum faham. Mulakan belajar topik yang penting-penting
dahulu. Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat
diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama.
Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda
benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat
membacanya, maka bacalah dengan terperinci.
Subjek ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan
mengantuk apabila membacanya.
Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan
kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan
dengan topik yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji.
Pelbagaikan aktiviti ketika belajar. Selang-selikan diantara
aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar peta minda (atau
peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab
soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa
yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran
minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek
tersebut dan bincangkan.
Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu
mengingatinya.
Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan
apa yang telah aanda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk
mengingat seperti:
-
Hafal
kata kunci, bukannya hafal ayat.
-
Gunakan
Teknik Ceraian.
-
Gunakan
Teknik Mnemonik.
-
Tuliskan
fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama anda kemana
sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad-kad ini.
Anda rasa anda faham apa yang dibaca. Anda rasa
anda telah mengingatinya.
Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang
anda usahakan. Uji ingatan dan pengetahuan anda. Jawab
soalan-soalan dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun
sebelumnya. Bina soalan-soalan berdasarkan tujuh soalan asas
iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? Bagaimana?
Misalnya, kalau anda sedang membaca sejarah Melaka diserang
Portugis, tanaya kan soalan-soalan seperti:
Bila
Melaka diserang?
Kenapa Melaka diserang?
Siapa yang menyerang?
Bagaimana Melaka diserang?
Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.
Penyusunan maklumat. Maklumat dan
fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia
dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik.
Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun
maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:
-
Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau
ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu
bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut.
-
Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa
kategori berdasarkan persamaan yang ada. Cuba bahagikan
kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan).
-
Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep
bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya,
kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia
kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua
negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau
peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda mungkin
kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara
tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka.
Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda
lupa?
Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa
sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca
hanya dalam masa 24 jam. Oleh itu anda perlu merancang satu
strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini.
Pastikan setiap apa yang anda baca telah
diringkaskan. Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat
apabila anda melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan
semula apa yang mahu disampaikan olehnya. Ada ketikanya fakta
yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua atau
tiga patah perkataan. Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas
anda ini. Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami.
Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah mampu
memanggil semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak, semak
semula sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab
soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan
anda. Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa.
Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah payah membaca teks
asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.
Anda suka belajar disaat-saat akhir.
Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar
disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa
juga. Pendapat di atas adalah tidak benar. Anda perlu
belajar seawal mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dalam
sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa
untuk bertanya pada guru dan rakan-rakan. Salah satu rahsia
belajar ialah kekerapan. Lagi kerap sesuatu bahan itu
diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan
mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang.
Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu
dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan
dengan lebih bersungguh-sungguh.
|
BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN
Ramai pelajar yang rajin
belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan
usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak
belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan.
Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan
betul. Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda
lakukan mulai sekarang hinggalah ke dewan peperiksaan bagi
memastikan anda lakukan yang terbaik.
Bersedia untuk belajar
Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan
bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat
yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.
Sekiranya anda memang telah
belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan.
Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu
bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi sekiranya
anda bakal menduduki SPM. Kepada pelajar SPM saya nasihatkan
agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu
matapelajaran yang membawa anda ke menara gading. Matapelajaran
ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua
matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun,
Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan).
Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata
pelajaran ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah
cerah.
Namun begitu, sekiranya anda
mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua
mata pelajaran. Sebab persaingan ke universiti kini semakin
sengit. Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang
baik dalam semua mata pelajaran.
Buatkan jadual belajar untuk
peperiksaan
Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama.
Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati,
jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan
mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak
ada masalah tanya penyelesaian.
Mula menyemak semua buku-buku
yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan,
soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan
semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.
Langkah pertama kenal pasti
bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata
pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab
yang telah anda kuasai dengan baik.
Langkah kedua buatkan analisa
soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang
sering keluar soalan darinya. Bab-bab ini merupakan
bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai
dengan baik.
Buatkan jadual perancangan
belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah
seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir
sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda
lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting,
mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji
bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya
mengatasi setiap masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan
4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar
5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh
itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungki belajar 1
jam diwaktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan
3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam
sehari.
Mengingati Tajuk
Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda
mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu
matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang
apa yang anda pelajari.
Buatkan Nota
Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap
tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu
memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk
beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan
sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan
peperiksaan semakin hampir.
Setelah anda memahami apa yang
dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Yang
terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami.
Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman
anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.
Ringkaskan setiap fakta menjadi
lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti
kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan senarai kata
kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta konsep
berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan
apabila anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati
keseluruhan fakta yang berkaitan dengannya.
Latih diri anda untuk
peperiksaan
Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan
anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda
anda juga seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu
dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka
yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu melakukan latihan
berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu
juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi
tujuan cemerlang dalam peperiksaan.
Syarat-syarat latihan
peperiksaan ialah:
- Latih mengeluarkan
maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
- Latih dalam tempoh masa
yang tertentu.
- Anggapkan setiap latihan
seperti peperiksaan sebenar.
- Latih menjawab mengikut
strategi menjawab soalan yang berkesan.
1. Latih mengeluarkan
maklumat
Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula.
Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk
mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan
latihan-latihan seperti:
- Menjawab
soalan-soalan;
- Menceritakan semula
apa yang telah dipelajari;
- Melakarkan kembali
dalam bentuk peta konsep / minda;
- Mengadakan
perbincangan dengan rakan;
- Menyediakan kad
imbasan kecil.
- Mengambarcarakan apa
yang telah dipelajari.
- Sekiranya anda pelajar
SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei
berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan
fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini
memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan
sebenar kelak.
2. Hadkan masa menjawab
Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan.
Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak
fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang
berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu anda
perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui
latihan yang berterusan.
Oleh itu anda perlu kerap
menjalankan latihan ujian. Iaitu menjawab
soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.
3. Anggap seperti
peperiksaan sebenar
Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa,
tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan
peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang
menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab
soalan (lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh
itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang.
Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang
terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda
sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar
nanti.
4. Strategi menjawab
soalan
Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari
berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab
soalan yang berkesan.
Langkah-langkah berikut
dapat membantu:
- Baca arahan terlebih
dahulu.
- Baca arahan terlebih
dahulu.
- Kenal pasti dan garis
kata kunci kepada soalan.
- Jawab soalan mengikut
turutan berikut:
- Jawab soalan
BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya
betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau
yang pernah anda latih sebelumnya.
- Jawab soalan
yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda
jawab hanya dengan satu kali cubaan.
- Jawab
soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang
memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda
memang tidak tahu jawapannya.
- Semak -
Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif,
pastikan tandanya betul.
- Ulang jawab
- Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan
senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan
kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan
tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati
dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab
soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih
mengizinkan.
Mencari sebab (post-mortem)
Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai
menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latihan
ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan
anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari
sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan
masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab
kesalahan berlaku ialah:
- Tidak tahu (tidak
baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang.
Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.
- Tidak faham
- Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan pada guru atau
rakan.
- Lupa - Ini
disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah
dipelajari.
- Cuai -
Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi
Menjawab Soalan di atas.
- Keliru -
Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan
anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan
agar kesilapan yang sama tidak diulangi.
Jangan buang masa
Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan
setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa
yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal,
maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan
maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri
anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai
kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan
memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan
kelak.
Bagi mengelakkan rasa jemu
belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi
mengulangkaji. |
|
No comments:
Post a Comment