Wednesday, 15 February 2012
Rencana dan Pendapat -
Surat & Emel: Guru kreatif bantu tingkat motivasi pelajar
DALAM menghadapi masalah pelajar dibebankan tugasan rumah yang berat, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan. Saya ingin membawa senario pembelajaran pada peringkat prasekolah sebagai contoh dan perbandingan.
Pelajar di tadika belajar dengan penuh gembira. Mereka bermain sambil belajar, banyak kegiatan dan kerja berkumpulan. Mereka menyanyi sambil membuat kerja, bermain dan berhubung dengan sahabat lain dengan cara fizikal dan komunikasi.
Mereka begitu cepat menghafal lagu dan lebih mengagumkan boleh menghafal begitu banyak ayat pendek dan doa.
Ini semua dilakukan sambil bermain dan menyanyi. Pada kanak-kanak ini belajar bukannya bebanan tetapi penuh dengan keriangan dan kegembiraan. Apabila menghafal dilakukan secara menyanyi dan bermain kanak-kanak berasa seronok belajar maka kesannya akan lebih cepat dan kekal.
Pembelajaran di tadika begitu berkesan dan menyeronokkan bagi seseorang murid tetapi tidak di sekolah rendah Pembelajaran di sekolah rendah adalah kejutan budaya bagi murid ini.
Sekolah rendah bermulanya zaman suram bagi sejarah pembelajaran seseorang. Pagi lagi sudah bersiap dengan tenaga yang kuat untuk memikul beg. Di sekolah bermulalah proses menyalin, menulis, membaca bagi menghadapi peperiksaan pada hujung penggal.
Markah mesti tinggi dan kalau boleh mesti dapat nombor 1 atau 2 dalam kelas kerana nanti Pak Long, Mak Ngah, Mak Lang, Mak Teh akan tanya dapat nombor berapa dalam kelas. Kalau dapat nombor 30, malu.
Jiran akan anggap anak tidak pandai. Saudara mara tidak berasa bangga. Keadaan inilah yang menyebabkan ibu bapa menekan anak supaya belajar, belajar dan belajar dan jangan main-main. Selain beban tugasan, anak sudah mula memikul beban psikologi sejak kecil lagi.
Guru yang kreatif boleh membantu mengurangkan tekanan murid. Pembelajaran yang berkesan tidak semestinya membebankan pelajar dengan tugasan saban hari. Motivasi pelajar yang dibawa ke dalam kelas boleh berubah kepada lebih baik atau lebih buruk akibat daripada apa yang berlaku di dalam kelas.
Ada banyak faktor yang menyumbang kepada motivasi pelajar. Antara lain adalah minat terhadap kandungan pelajaran, persepsi terhadap kegunaannya, keinginan untuk mencapai sesuatu, keyakinan diri dan nilai diri yang tinggi.
Kita harus menyedari bahawa tidak semua murid boleh didorong dengan nilai, keperluan, dan keinginan yang sama. Pelajar adalah individu yang mempunyai sikap, latar belakang, kecerdasan dan pengalaman yang berlainan.
Guru boleh menggalakkan dan meningkatkan motivasi pelajar dengan cara berikut:
Memberikan maklum balas positif segera untuk melahirkan kepercayaan bahawa mereka boleh melakukannya dengan baik. Guru perlu memulangkan kertas ujian dan tugasan secepat mungkin.
Berilah pujian dalam kelas atas hasil kerja mereka dan cara bagaimana memperbaikinya. Pujian akan membina keyakinan diri dan pelajar.
Memastikan pelajar mempunyai peluang untuk berjaya dengan memberi tugasan yang tidak terlalu senang dan tidak terlalu susah. Berilah soalan atau tugasan yang senang pada awal penggal/semester untuk menimbulkan keyakinan dan mendorong pelajar untuk terus belajar. Tingkatkan tahap kesukaran soalan atau tugasan secara beransur-ansur.
Gunakanlah kekuatan dan minat pelajar dalam proses pembelajaran. Dapatkan maklumat daripada pelajar, apakah perkara yang diminati mereka dalam mata pelajaran yang mereka belajar. Apakah yang mereka rasakan mengenai kandungan pelajaran dan apakah yang mereka harapkan. Bahagian ini lebih sesuai dilakukan oleh guru pada peringkat sekolah menengah atas.
Kaedah pengajaran perlulah dipelbagaikan untuk membangkitkan minat pelajar. Buatlah kelainan dalam kegiatan dan kaedah pengendalian kursus seperti main peranan, bahas, brainstorming, perbincangan, demonstrasi, kajian kes, persembahan audio visual, atau tugasan dalam kumpulan yang kecil. Kepelbagaian kaedah ini akan merangsang naluri ingin tahu pelajar pada tahap tinggi.
Guru harus memberi peluang kepada pelajar untuk memilih atau membuat cadangan dalam memilih tajuk kajian, esei, projek atau apa-apa tugasan (bukan ujian). Pelajar elok digalakkan memberi idea bagi tempat untuk lawatan atau kajian kes.
Sekolah digalakkan untuk mewujudkan suasana terbuka dan positif. Hubungan yang mesra di antara guru dan pelajar akan menimbulkan suasana positif memberangsangkan. Guru boleh memberitahu pelajar bahawa mereka boleh datang berbincang pada waktu diluangkan untuk menyelesaikan masalah pembelajaran yang timbul dalam kelas.
Guru hendaklah mengelakkan daripada memberi maklum balas negatif terhadap diri pelajar. Berhati-hatilah ketika memberi maklum balas negatif, tumpukan kepada prestasi dan tugasan bukan pada diri individu. Tegaskan kekuatan yang ada dalam tugasan pelajar itu selain kelemahan.
Elakkan mengancam pelajar dengan menggunakan gred sebagai senjata. Kelemahan atau kesalahan boleh digunakan sebagai titik tolak bagi pelajar memperbaiki kesalahan. Kesalahan adalah sesuatu yang boleh diterima dan pelajar boleh belajar menerusi kesalahan.
Jadikanlah pembelajaran sesuatu yang menyeronokkan pada peringkat mana pun dari tadika sampailah ke peringkat universiti. Oleh itu pengajar perlu membuatkan pelajar aktif ketika belajar.
Seseorang pelajar itu akan berasa puas dan seronok belajar dengan cara membuat, menulis, mereka bentuk, membina serta menyelesaikan. Janganlah beritahu sesuatu kepada pelajar jika kita boleh dapat maklumat itu daripada pelajar dengan cara bertanya.
Guru harus menggalakkan pelajar memberi cadangan dalam kaedah menyelesaikan masalah, memberi jangkaan terhadap uji kaji, membuat contoh dan sebagainya. Gunakanlah gerak kerja kumpulan yang kecil supaya semua pelajar dapat berpeluang membabitkan diri.
Tidak ada gunanya seseorang individu itu dapat gred 1 dengan 8 A atau Ijazah Kepujian Kelas Pertama jika tiada keyakinan diri, tidak boleh berkomunikasi dengan berkesan dan tiada ada kecerdasan emosi kerana dia tidak akan menjadi seorang yang berjaya dalam organisasi bila bekerja nanti.
Hal ini harus ditangani secara menyeluruh membabitkan guru, ibu bapa, Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran serta pelajar sendiri.
ABDUL AZIZ HITAM,
eraziz4212@yahoo.uk.co.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment