Oleh Mohd Ayob Abd Razid
Pelaksanaan PPSMI dilihat gagal beri manfaat kepada pelajar, terutama di luar bandar
USAHA menggerakkan pelaksanaan program memperkasakan Bahasa
Malaysia dan Inggeris pada semua peringkat sekolah seperti kenyataan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini adalah
selaras dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan
Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang akan dilaksanakan mulai 2012 bagi
menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI).
Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud mengembalikan kedudukan
bahasa itu sebagai bahasa pengantar di sekolah kebangsaan. Memperkasa
bahasa Inggeris pula bermaksud usaha mempertingkat penguasaan bahasa itu
melalui kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan supaya
pelajar benar-benar dapat menguasainya dengan baik.
Pengumuman pemansuhan PPSMI dan dasar MBMMBI dibuat selepas
kerajaan mengkaji dan meneliti pelbagai aspek membabitkan keberkesanan
pelaksanaan dasar itu. Kerajaan juga mengambil kira pelbagai pandangan
cendekiawan serta pandangan umum mengenai pro dan kontra pelaksanaan
PPSMI yang dilaksanakan sejak 2003.
Contoh, tokoh bahasa yang
juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hassan
Ahmad, menyatakan PPSMI boleh melemahkan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu. Menurutnya, sebelum ini pelbagai bidang ilmu ditumpukan dalam
bahasa Melayu termasuk dalam bidang sains dan matematik.
Bahasa
Melayu juga pernah digunakan dengan meluas di pusat pengajian tinggi
sehinggakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi sebuah
universiti yang sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar. Keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dibuktikan UKM
apabila melahirkan ramai siswazah dalam bidang perubatan dan pelbagai
bidang lain. Golongan profesional yang dilahirkan oleh UKM dengan
pengantar bahasa Melayu turut mahir berbahasa Inggeris.
Peranan
DBP yang menterjemahkan banyak buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk
menerbit pelbagai jenis kamus, peristilahan dan buku glosari dalam
semua bidang pengajian berjaya mengangkat keupayaan dan martabat bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu.
Menurut kajian Universiti Perguruan
Sultan Idris (UPSI), pelaksanaan PPSMI didapati menjarakkan lagi jurang
pencapaian sains dan matematik antara pelajar bandar dan luar bandar.
Masih ramai guru PPSMI tidak menguasai bahasa Inggeris. Kebanyakan murid
pula menunjukkan sikap pasif dan kurang ceria apabila kelas Sains dan
Matematik berlangsung.
Majoriti murid, terutama di luar bandar
takut bertanya soalan kerana tidak memahami pelajaran yang diajar.
Hampir 50 peratus murid didapati tidak faham bahasa Inggeris. Kajian itu
juga mendapati lebih 80 peratus murid Melayu sukar memahami pelajaran
sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Justeru, PPSMI dilihat gagal
memberi manfaat kepada pelajar, khususnya di luar bandar.
Dalam
melaksanakan dasar MBMMBI, Kementerian Pelajaran perlu mengambil
beberapa langkah secara teliti dan terancang. Misalnya, untuk
menyediakan buku teks dalam bahasa Melayu bagi kedua-dua mata pelajaran
terbabit memerlukan jangka masa tertentu. Ini termasuk melantik panel
penulis, penyediaan isi kandungan, panggilan tender dan akhirnya proses
mencetak. Saya kira proses ini sudah pun berjalan kerana selepas
berakhir 2011 nanti maka dasar baru itu akan dilaksanakan.
Kita
juga perlu faham selain mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik
kepada bahasa Melayu, pada masa sama kerajaan mahu memperkukuhkan
penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Seperti disarankan pakar
bahasa bahawa untuk memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris di kalangan
pelajar, aspek pedagogi pengajaran dan pembelajaran bahasa itu perlu
dipertingkatkan.
Oleh itu, kementerian perlu merancang
pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Justeru,
kemampuan melahirkan guru bahasa Inggeris berkualiti amat penting supaya
pengajaran dan pembelajaran bahasa itu menjadi lebih berkesan, menarik
dan bersifat pembelajaran yang menyeronokkan.
Langkah kerajaan
mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris dari luar negara adalah usaha
mengatasi masalah kepakaran guru dalam bahasa Inggeris. Saya yakin ia
langkah sementara sebelum negara dapat melahirkan lebih ramai guru yang
mahir dan pakar dalam pengajaran bahasa Inggeris.
Kerajaan juga
boleh mempertimbangkan pengambilan guru bahasa Inggeris yang sudah
bersara tetapi masih mampu mengajar dengan berkesan. Guru berpencen yang
diambil semula ini perlu memiliki kesihatan yang baik dan didedahkan
dengan teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang terkini.
Selain
itu, penambahan peruntukan masa mengajar bahasa Inggeris di sekolah
rendah dan menengah serta Tingkatan Enam dan Matrikulasi, akan dapat
memantapkan lagi penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
Langkah
menjadikan makmal komputer di kebanyakan sekolah sebagai makmal bahasa
pula akan dapat memantapkan dasar MBMMBI. Justeru, sekolah yang belum
mempunyai kemudahan komputer, perlulah kerajaan segera menyediakannya.
Kesimpulan,
dasar MBMMBI mampu mengembalikan semula kedudukan bahasa Melayu dalam
pendidikan negara. Pada masa sama, dapat memperkasa penguasaan bahasa
Inggeris di kalangan pelajar. - BH 11/12/2010
Penulis adalah Ketua Unit Penerbitan di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
No comments:
Post a Comment