Friday, 17 February 2012

STRATEGI BAGI MENJAYAKAN DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Dasar PendidikanDalam usaha mencapai matlamat Dasar Pendidikan Kebangsaan, pelbagai langkah-langkah dan strategi telah disusun, antaranya; Penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama; Mengadakan kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama; Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan; Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu; Mendemokrasikan pendidikan; Pelaksanaan KBSR dan KBSM; Mempertingkatkan pendidikan Islam, kerohanian, moral dan disiplin; Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik; Mempelbagai kemudahan pendidikan di peringkat universiti; Pengajaran bahasa ibunda; dan Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum.

1. Penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama
Selaras dengan matlamat utama Dasar Pendidikan Kebangsaan, iaitu menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum, bahasa Malaysia telah diiktiraf sebagai bahasa bahasa rasmi dalam segala urusan dan menjadi bahasa kebangsaan. Hal Ini telah pun termaktub dalam Seksyen 17, Akta Pendidikan 1996, yang antara lain menyatakan:
“Bahasa kebangsaan (bahasa Malaysia) hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini.” (Akta Pendidikan, 1996)
Ini bermakna, walaupun sekolah terdiri dari berbagai aliran, Bahasa Malaysia dijadikan sebagai satu mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah.

2. Mengadakan kurikulum dan sistem peperiksaan yang sama
Ini dilakukan dengan menyelaraskan sukatan dan rancangan yang hendak diajar oleh guru terhadap pelajar sekolah. Sukatan ini diselaraskan tanpa mengira jenis dan kategori sekolah. Tujuan dilakukan penyelarasan ini ialah untuk menghasilkan pelajar yang mempunyai tahap kemampuan dan kebolehan yang sama. Kurikulum Kebangsaan yang diselaraskan ini wajib diguna oleh semua pihak. Perkara ini telahpun disentuh dalam Seksyen 18 (1), Akta Pendidikan (1996):
“Menteri hendaklah menetapkan suatu kurikulum yang dikenali sebagai Kurikulum Kebangsaan yang, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah digunakan oleh semua sekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan.”
Selain itu, bahasa Malaysia juga dijadikan ukuran untuk menilai pencapaian yang diperolehi oleh pelajar dalam peperiksaan awam. Di peringkat pengajian tinggi, kedudukan Bahasa Malaysia juga sama dengan apa yang berlaku di sekolah. Setiap pelajar institusi pengajian tinggi wajib mengambil peperiksaan Bahasa Malaysia sebagai satu syarat untuk mendapat pengijazahan.

3. Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan
Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang bertanggungjawab telah melaksanakan beberapa strategi yang dapat memantapkan Sistem Pendidikan Kebangsaan, antaranya ialah melicinkan tatacara pengurusan pendidikan dengan cara meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan. Langkah ini diambil bagi memastikan organisasi berkenaan dapat meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Aspek pengurusan ini memang banyak disentuh dalam Akta Pendidikan 1996, misalnya dalam Bab 11, Seksyen 53 berkenaan Suratcara pengelolaan bagi institusi pendidikan.

4. Mendemokrasikan pendidikan
Usaha mendemokrasikan pendidikan telah dilakukan sekitar tahun 1980-an. Matlamatnya adalah bagi memastikan mutu pendidikan dipertingkatkan dan dengan mengagihkan peruntukan secara adil. Ini dilakukan dengan dengan menambahkan kemudahan fizikal dan infrastruktur terutama di luar bandar. Ini adalah selaras dengan Dasar Ekonomi Baru yang ingin menyusun semula masyarakat dengan mengurangkan jurang perbezaan peluang pendidikan antara golongan kaya dengan miskin, program sokongan pendidikan seperti Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Televisyen Pendidikan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), asrama desa dan asrama harian, biasiswa, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan program kesihatan dipertingkatkan.


5. Pelaksanaan KBSR dan KBSM
Jawatankuasa kabinet yang mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan dalam laporannya (1979) telah mendapati antara lain bahawa kurikulum itu digubal secara terpisah mengikut mata pelajaran dan terdapat sedikit sangat integrasi dalam mata pelajaran yang terkandung di dalamnya (Perenggan 194). Oleh itu, berdasarkan rasional tersebut, jawatankuasa kabinet memperakukan bahawa:
“Kementerian hendaklah mengambil langkah tertentu supaya pendidikan rendah bercorak pendidikan asas yang memberi penegasan kepada pendidikan dalam bidang 3M iaitu membaca, menulis dan mengira”
(Laporan Kabinet, Perakuan 2a)

Oleh yang demikian, usaha merekaraya kurikulum dibuat dan ini menyaksikan lahirnya Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1983 dan diikuti dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1989. KBSR dibentuk berpandukan rasional bahawa aktiviti pelajar dan pendidikan peringkat rendah adalah bercorak pendidikan asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang menjurus kepada kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Justeru, matlamat pendidikan adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1980).

6. Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik
Bagi memantapkan kemahiran di kalangan para pelajar, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga turut mengambil langkah memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada tahun 1978. Tumpuan terhadap pemantapan pendidikan teknik dan vokasional ini dapat dilihat melalui penetapan Seksyen 35, Kurungan 1 dan 2 berkenaan Pendidikan teknik di sekolah menengah kebangsaan dan institusi pendidikan lain. Beberapa strategi yang diambil termasuklah; menyediakan latihan kemahiran; latihan khusus yang berhubungan dengan pekerjaan tertentu; dan latihan bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada.

7. Memantapkan institusi pengajian tinggi
Bagi memastikan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran, kerajaan telah mengambil beberapa langkah ke arah pencapaian matlamat tersebut, antaranya;
  • Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 – membolehkan penubuhan sebuah majlis untuk menentukan dasar dan menyelaras pembangunan pendidikan tinggi;
  • Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara 1996 – menyediakan peruntukan pinjaman pelajar dan skim tabungan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi;
  • Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 – memperluas autonomi dalam pengurusan dan kewangan kepada universiti awam bagi menentukan program ke arah kecemerlangan dalam pendidikan;
  • Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996 – memastikan tahap akademik yang tinggi, jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam penyediaan pendidikan tinggi swasta;
  • Akta Institut Teknologi MARA (Pindaan) 2000 – membolehkan ITM dinaiktaraf menjadi universiti; dan
  • Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (Pindaan) 2000 – membenarkan pinjaman kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
8. Mempertingkatkan pendidikan Islam, kerohanian, moral dan disiplin
Mata pelajaran Pendidikan Islam diperluaskan di semua sekolah tanpa mengira jenis dan kategori. Disamping itu ianya juga menjadi mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh semua pelajar yang beragama Islam. Ini termaktub dalam Akta Pendidikan (1996), Seksyen 50. Manakala pelajar bukan Islam pula diberi pendidikan dari segi moral melalui Pendidikan Moral. Tujuan mata pelajaran ini diperluaskan dan menjadi mata pelajaran teras ialah untuk melahirkan insan yang percaya dan patuh kepada Tuhan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berbakti dan memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.

9. Pengajaran Bahasa Ibunda
Matlamat Sistem Pendidikan Kebangsaan antara lain ialah mewujudkan sistem pendidikan berteraskan masyarakat sendiri. Oleh itu kerajaan telah mengambil langkah untuk memastikan setiap masyarakat di negara ini akan dapat mengekalkan identiti kaum masing-masing bersesuaian dengan masyarakat majmuk Malaysia. Beberapa langkah yang dikenal pasti termasukla membenarkan pengajaran bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Iban, bahasa Kadazan-Dusun dan bahasa Arab di sekolah-sekolah. Langkah ini diambil supaya setiap masyarakat di negara ini akan rasa dihargai dan tidak wujud perasaan disisihkan dalam negara sendiri. Perkara ini telahpun termaktub dalam Akta Pendidikan 1996 yang memperuntukkan:

 “….pengajaran bahasa Cina dan Bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan boleh diadakan dengam satu syarat jika ada permintaan 15 orang ibu bapa atau lebih dan jika munasabah dan praktik.” (Akta Pendidikan 1996)”
10. Penekanan terhadap penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
Pada abad ke-21, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Negara juga menghadapi cabaran untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi. Oleh itu, KPM menyediakan program pembangunan pendidikan yang dapat melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan, celik ICT, berkemahiran dan berakhlak mulia. KPM juga meneliti semula program dan projek yang dirancang bagi penyegaran, pembaharuan, pengukuhan, penyusunan semula dan penggubalan baru. Semua ini adalah hasil perancangan yang terkandung dalam dokumen Pembangunan Pendidikan (2001-2010) KPM.
11. Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum
Bagi memupuk disiplin di kalangan pelajar Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah menambah baik pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum di sekolah. Ini dilakukan dengan meningkatkan aktiviti pasukan pakaian seragam seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis, pengakap, puteri Islam dan lain-lain. Selain itu, aktiviti ko-kurikulum juga diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10.00 untuk sekolah rendah dan RM12.00 untuk sekolah menengah mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005); dan aktiviti ko-kurikulum dijadikan syarat kelayakan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005).
Sebagai kesimpulan, semenjak merdeka Malaysia telah meletakkan matlamat dan landasan yang jelas untuk negara ini. Malaysia bermatlamat menjadi sebuah negara yang bermasyarakat majmuk yang bersatu padu, mengamalkan demokrasi berparlimen dan berjaya sebagai sebuah negara yang makmur dan maju. Ini semua dapat dilakukan dengan menambah baik sistem pendidikan di negara ini. Oleh itu, dalam proses mencapai semua matlamat tersebut, Malaysia seperti negara-negara lain di dunia telah menyusun strategi dan perancangan yang perlu bagi merealisasikan semua cita-cita tersebut. Strategi dan perancangan ini disusun dengan rapi oleh kerajaan yang memerintah dan ini dilakukan dengan membentuk dasar-dasar yang perlu supaya dilaksanakan demi memajukan dan memakmurkan negara secara keseluruhan.

No comments:

Post a Comment