Peruntukkan tambahan RM20 juta untuk sesi persekolahan 2012
Tambahan RM20 juta
Oleh Norfatimah Ahmad
2011/12/31
PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukkan
tambahan RM20 juta untuk membekal peralatan dan kemudahan bagi kegunaan
pelajar apabila sesi persekolahan 2012 bermula minggu depan.
Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata peruntukan tambahan
itu membabitkan penyediaan 122,846 kerusi, 122,675 meja dan 24.4 juta
buku teks.
“Bersesuaian dengan program Satu Murid, Satu Kerusi, Satu
Meja dan Satu Set Buku Teks, kerajaan menyediakan peruntukan
melengkapkan sekolah dengan pelbagai peralatan untuk keselesaan.
“Langkah
ini antara usaha yang dilakukan untuk memastikan musim persekolahan
tahun depan berjalan lancar,” katanya selepas mengadakan lawatan ke
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail di sini, semalam.
Muhyiddin
yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun musim tengkujuh
ketika ini menyebabkan peralatan untuk tiga sekolah di Pulau Tioman
tidak dapat diserahkan mengikut jadual.
Beliau juga memaklumkan
seramai 449,475 murid akan memasuki kelas Tahun Satu di seluruh negara,
minggu depan, manakala seramai 437,475 pelajar akan menyambung pelajaran
ke Tingkatan Satu di sekolah menengah.
Selain itu, katanya,
sebanyak 26 sekolah rendah baru dibina dan 12 daripadanya akan
beroperasi mulai Januari 2012, manakala bagi sekolah menengah, 25
sekolah baru dibina dengan empat daripadanya dapat digunakan bulan
depan.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan
menanggung RM147 juta kos pemansuhan yuran persekolahan bagi meringankan
beban ibu bapa supaya tidak ada sesiapa yang ketinggalan dalam
pelajaran.
“Sebenarnya tidak ada yuran... bayaran hakiki tidak perlu dibayar,” katanya.
Bagaimanapun,
beliau tidak menolak kemungkinan ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
yang akan memohon mendapatkan sumbangan daripada ibu bapa untuk
melaksanakan program sekolah.
“Tetapi, jangan kenakan apa-apa lagi,” katanya.
Beliau
berkata, kerjasama dan pembabitan ibu bapa dalam kegiatan sekolah anak
mereka dapat membantu mewujudkan sekolah cemerlang.
“Di banyak
negara dilawati, yang menyambut saya dulu bukannya guru, tetapi ibu
bapa. Macam di Australia, bila ditanya mereka beritahu ‘kami datang ke
sini untuk bantu sekolah kerana anak kami belajar di sekolah ini’,”
katanya.
sumber : Berita Harian Online
No comments:
Post a Comment