JOHOR BAHRU 29 Mei - Golongan guru disaran meningkatkan kemahiran dan
daya kepimpinan mereka bagi membantu melonjak prestasi para pelajar
pada masa akan datang.
Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A.
Ghani berkata, budaya seperti itu merupakan sesuatu yang sangat
diperlukan untuk mewujudkan pelajar yang bertanggungjawab dan
berwawasan.
Menurutnya, guru juga perlu memastikan ilmu yang
disampaikan dapat diadaptasikan para pelajar dalam dunia sebenar bagi
membina sebuah negara bangsa berjaya.
"Sesungguhnya profesion
guru ini hanya layak kepada mereka yang bersedia mencurahkan jiwa dan
raganya terhadap pendidikan anak bangsa.
"Sekiranya semua guru
bersama berganding bahu memikul amanah yang dipertanggungjawab maka
segala yang sukar akan menjadi mudah," katanya ketika berucap pada
majlis Perasmian Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Pasir
Gudang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, di sini
semalam.
Pada majlis itu juga, bekas Guru Besar Sekolah
Kebangsaan (SK) Kota Masai, Musleha Othman, 62, dinobatkan sebagai
Tokoh Guru Daerah Pasir Gudang 2011 di atas sumbangannya selama ini
dalam meningkatkan kualiti pendidikan.
Mohd. Nor berkata, guru
pastinya menjadi harapan untuk membentuk jati diri pelajar yang kukuh
serta berdaya saing di samping berpegang teguh pada nilai-nilai agama.
Katanya, kecekapan guru menerusi sistem pendidikan di negara ini
dilihat mampu mewujudkan generasi muda yang berfikiran global yang tidak
membelakangkan ciri-ciri tempatan.
Utusan Malaysia Online: 30 Mei 2011
No comments:
Post a Comment